Penganalisis komoditi di SEB, Bjarne Schieldrop dalam kenyataannya berkata harga minyak boleh meningkat hingga ke paras $200 jika infrastruktur tenaga Iran dihapuskan oleh Israel. Ulasannya itu hasil perbincangan prospek pasaran minyak di tengah-tengah ketegangan perang di Timur Tengah di CNBC.
Iran merupakan pengeluar dan pengeksport minyak utama serta sebarang gangguan terhadap infrastrukturnya boleh memberi kesan yang meluas kepada bekalan minyak global.
Terdapat beberapa faktor yang mampu mengheret harga komoditi terkenal tersebut melonjak dan memberi masalah buat negara-negara lain.
Antara topik yang perlu diketahui adalah Iran memegang pemilikan kira-kira 10% daripada rizab minyak dunia. Sebarang kerosakan besar kepada keupayaan pengeluaran atau eksportnya akan menyebabkan kejutan bekalan yang ketara serta mengetatkan pasaran global.
Ketidakstabilan rantau Timur Tengah terus merebak berikutan konflik antara Israel-Iran boleh melibatkan pemain serantau lain seperti Arab Saudi, UAE dan Iraq yang semuanya adalah pengeluar minyak utama.
Ketegangan yang semakin memuncak juga boleh menyebabkan gangguan kepada laluan pengangkutan minyak di Selat Hormuz yang mana kira-kira 20% daripada minyak dunia melaluinya.
Selain itu, sentimen perang yang semakin parah akan mencetuskan spekulasi pasaran minyak dan meningkatkan harga. Pelabur mungkin bertindak balas dengan cepat terhadap berita serangan ke atas infrastruktur Iran oleh Israel tersebut.
Dalam situasi sebegini, sekatan mungkin dikenakan ke atas Iran atau pihak lain bagi memburukkan lagi bekalan minyak mentah.
Walau bagaimanapun, paras $200 per tong adalah sasaran harga yang ekstrem kerana paras semasa sekarang masih lagi stabil di bawah $80 per tong.
Secara logiknya, semuanya bergantung kepada bagaimana situasi berkembang dan berapa lama gangguan itu berlanjutan.