Seperti yang dijangka oleh para penganalisis pasaran, US dolar kembali paparkan rentak pemulihan semula apabila penyusutan nilai pada Rabu lalu tidak diteruskan semalam.
Namun, momentum tidaklah begitu meyakinkan ketika sesi New York berakhir sementara pelabur akan lebih berwaspada untuk dagangan yang dijangka lebih berisiko di penghujung minggu ini.
Laporan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang terbaru diterbitkan di sesi New York semalam positif dan kembali memulihkan semula rentak pengukuhan US dolar.
Unjuran terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed) masih kekal untuk langkah pemotongan kadar faedah ditangguhkan untuk pertama kali dilakukan sejak tahun 2020.
Presiden Fed New York, John Williams memberi kenyataan bank pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah ketika ekonomi masih dalam keadaan yang kukuh.
Kenyatan bernada hawkish itu yang mengiringi ucapan Pengerusi Jerome Powell sebelum ini dilihat menyokong US dolar untuk bergerak positif dalam pasaran.
Situasi pasaran pada sesi Asia pagi ini (Jumaat) dirancakkan dengan laporan serangan terbaru yang berlaku di sempadan Iran dan Iraq.
Sumber awal melaporkan serangan udara tersebut dilancarkan oleh Israel sebagai tindakan serang balas terhadap Iran yang telah melancarkan serangan pada hujung minggu lalu.
Berlaku letupan berhampiran bandar Isfahan di Iran yang menempatkan 2.2 juta penduduk.
Sentimen risk-off pasaran dilihat terus memberi kesan langsung kepada dagangan safe-haven termasuk US dolar yang ketara mengukuh di sesi Asia.
Begitu juga dagangan emas yang mendatar semalam telah melonjak kukuh pagi ini menembusi paras harga $2,400.
Pelabur akan terus memerhati perkembangan perang yang berlanjutan ini untuk menilai corak pasaran yang akan bersambung ke minggu hadapan.