Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh kepada Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) dan Majlis Tindakan Negara Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) sehingga 20 Mac ini bagi menyelesaikan isu harga padi dan beras.
Katanya lagi, kerajaan memerlukan sedikit masa lagi untuk menetapkan harga yang berpatutan bagi keperluan asas ini kerana kepentingan keduua-dua pihak petani dan pembeli perlu dipertimbangkan.
Melihat dari segi polisi, mengawal harga padi memerlukan kesabaran kerana perlu melalui beberapa proses sebelum membuat keputusan.
Perdana Menteri sebelum ini berbincang dengan Bernas dalam mesyuarat bersama NACCOL bagi meminta pihak mereka mencari jalan dalam mengurangkan beras import dan meningkatkan pengeluaran tempatan.
Masalah utamanya ialah dalam menentukan naik turun harga beras. Jika ia dinaikkan, ia akan membebankan para pembeli di pasaran. Namun, tindakan pengurangan harga pula bakal memberi kesan buruk kepada pendapatan para petani.
Bagi meringankan beban rakyat, beliau mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiatkan program jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani buat sementera menunggu penyelesaian isu harga.
KPKM dan KPDN sedang giat menangani isu kos sara hidup dan harga makanan, termasuk meningkatkan pengeluaran.
Sementara itu, Anwar berkata semua keputusan dasar yang diambil oleh kerajaan adalah untuk kepentingan negara dan rakyat serta ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana negara lain.