Dalam usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, Rusia dan China baru-baru ini mengadakan perbincangan yang “bermakna”, menegaskan komitmen mereka terhadap satu sama lain dalam “perkongsian tanpa had.”
Menteri Pertahanan Rusia, Andrei Belousov, menegaskan bahawa kedua-dua negara memiliki pemikiran yang serupa mengenai isu-isu global dan langkah-langkah yang perlu diambil.
Belousov bertemu dengan Zhang Youxia, Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, di Beijing pada Rabu lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Kementerian Pertahanan China menyatakan hasratnya untuk memperdalam hubungan ketenteraan dan mengekalkan pertukaran peringkat tinggi.
Pertemuan ini berlangsung, di tengah peningkatan aktiviti ketenteraan China yang berkaitan dengan Taiwan, yang telah mencetuskan kecaman hebat dari Taiwan dan Amerika Syarikat (AS).
Sejak pengisytiharan kolaborasi di antara dua negara ini pada Februari 2022, Rusia dan China telah mempergiatkan kerjasama mereka bagi menentang pengaruh AS di Asia.
AS menuduh China telah menyokong operasi perang yang dijalankan oleh Rusia di Ukraine dengan membekalkan barangan serbaguna termasuklah mikroelektronik yang dapat membantu Rusia dalam mencipta senjata.
Tuduhan ini walau bagaimanapun telah disangkal oleh China.
Pada 21 Ogos, Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah mengumumkan bahawa hubungan ekonomi di antara Rusia dan China sedang melonjak, dengan industri perdagangan mencapai tahap rekod yang memuaskan meskipun berdepan sekatan Barat.
Kedua-dua negara berusaha untuk mengoptimumkan struktur perdagangan dan memperluaskan kerjasama dalam sektor pertanian dua hala dan artik.
Pakatan Rusia-China dianggap sebagai elemen penstabil yang kritikal dalam menentang hegemoni Barat yang semakin menguasai, meletakkan keduanya sebagai kuasa yang tidak boleh diabaikan dalam arena global.