Sejak pasca merdeka, Malaysia menjadi antara salah satu negara Asia yang alami peningkatan ekonomi hasil perkongsian dan pelaburan asing dari negara-negara luar.
Pada era 1990-an, negara ini mula menjadi tarikan pelaburan dalam sektor teknologi tinggi dan elektronik. Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) pada tahun 1996 bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi.
Namun, konflik perang antara Israel-Hamas sejak Oktober lepas yang mengorbankan lebih 37,000 rakyat Gaza telah menyenaraikan syarikat gergasi Blackrock sebagai antara nama yang perlu diboikot. Siapa sebenarnya mereka ini?
Blackrock adalah salah satu firma pelaburan terbesar dunia yang menguruskan produk kewangan termasuk pengurusan dana bersama, ETF (Exchange Traded Funds) dan perkhidmatan pelaburan alternatif.
Data pada April 2024, Blackrock mencatatkan aset bersih kira-kira RM1.14 billion terutamanya melalui pelaburan iShares MSCI Malaysia ETF.
Namun, desakan sebilangan rakyat Malaysia yang mendesak pihak kerajaan untuk ‘buang’ pelaburan Blackrock dalam pasaran telah menimbulkan banyak persoalan berkenaan situasi ekonomi tempatan. Apa impak yang bakal terjadi?
Antara kesan yang boleh dilihat secara jelas adalah pelaburan besar-besaran oleh Blackrock biasanya mampu memberikan kecairan ke atas pasaran saham dan bon. Jika mereka menarik semula pelaburannya, ia boleh menyebabkan pengurangan kecairan serta menjadikan perdagangan kurang stabil dan lebih sukar.
Selain itu, penarikan mereka juga bakal membebankan kerajaan dan syarikat di Malaysia kerana pengurangan drastik dalam pembeli bon. Ini boleh menyebabkan peningkatan kadar faedah dan memberi kesan buruk ke atas peminjam tempatan.
Lebih mengejutkan lagi, kedudukan nilai mata wang ringgit juga mampu terjejas kerana jika Blackrock menjual aset Ringgit Malaysia (RM) dan menukarkannya kepada mata wang asing. Kedudukannya dalam forex bakal terjejas dan merosot.
Secara amnya, kehadiran Blackrock di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya telah mempunyai akar yang kukuh dalam industri perdagangan tempatan.
Langkah untuk menarik balik pelaburan tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.