Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan-kerajaan gergasi dunia BRICS.
Rusia merupakan pengerusi organisasi yang turut disertai oleh Brazil, India, China dan Afrika Selatan.
Kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri berkata Malaysia berhasrat untuk menyertai pertubuhan BRICS adalah fokus utama perbincangan dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov yang melawat di Kompleks Seri Perdana.
Anwar berkata Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi (BRICS) ke Rusia yang merupakan pengerusi BRICS dan menyatakan keterbukaan untuk menyertai sebagai negara anggota atau rakan strategik.
Pada 18 Jun, pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan hasrat untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS ditegakkan oleh empat negara gergasi ekonomi iaitu Brazil, Rusia, India dan China yang ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama ekonomi. Pada 2010, Afrika Selatan mula menyertai blok itu dan melengkapkan akronim BRICS.
Kini, ia telah diperluaskan merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
BRICS kini menyumbang kepada satu perempat daripada ekonomi global, menyumbang satu perlima daripada perdagangan global dan mewakili kira-kira 40% daripada penduduk dunia.
Semasa pertemuan, Anwar dan Lavrov turut membincangkan pengukuhan hubungan Malaysia-Rusia serta meluaskan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan, pertahanan, pendidikan tinggi, sains dan teknologi, pelancongan dan kebudayaan.
Situasi semasa di Palestin turut dibincangkan, dengan Malaysia menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata kekal dan bantuan kemanusiaan pantas di Gaza, serta penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).