Tumpuan pasaran di penghujung minggu lalu telah terarah kepada laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada sesi terakhir.
Laporan yang diterbitkan di awal sesi New York itu telah mengundang reaksi bercampur bagi pergerakan mata wang US dolar.
Meneliti laporan, pertambahan pekerjaan pada November meningkat kepada 227,000 mengatasi ramalan pada 218,000. Bacaan 12,000 pada bulan sebelumnya juga telah dikemas kini meningkat kepada 36,000.
Purata pendapatan per jam kekal di paras 0.4% berbanding ramalan untuk menurun kepada 0.3%, manakala kadar pengangguran catat peningkatan ke paras 4.2% bagi November, meleset berbanding jangkaan untuk kekal pada 4.1%.
US dolar pamerkan penyusutan pada awal reaksi laporan tersebut diterbitkan, namun berjaya mengukuh untuk menamatkan dagangan sesi terakhir minggu itu dengan lebih baik.
Selepas memerhatikan laporan pekerjaan, Federal Reserve (Fed) akan beralih pula tumpuan kepada data inflasi AS pada minggu ini untuk petunjuk seterusnya dalam penetapan dasar monetari mereka.
Pergerakan mata wang US dolar akan terus dipantau dengan berhati-hati oleh pelabur menjelang mesyuarat FOMC yang terakhir 2024 pada minggu hadapan.
Tanda-tanda pemulihan US dolar pada penutup minggu lalu memberi amaran awal terhadap mata wang utama yang lain dalam pasaran untuk bersedia berdepan semula tekanan.