Selepas paparkan pergerakan suram pada pembukaan awal minggu Isnin lalu, mata wang US dolar kembali paparkan pemulihan semula pada Selasa semalam.
Pergerakan pasaran yang tak menentu dan bercampur-campur ini dijangka berterusan menjelang terbitan data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Bacaan indeks harga pengguna (CPI) terbaru akan menambahkan petunjuk yang lebih jelas selepas berlaku perubahan pada jangkaan penetapan dasar monetari Federal Reserve (Fed) susulan data pekerjaan NFP yang diterbitkan Jumaat lalu.
Jika kadar inflasi AS meningkat menyusuli pekerjaan yang memberangsangkan, jangkaan untuk Fed beralih kepada pelonggaran dasar semakin rendah.
Ahli penggubal dasar berkemungkinan akan bersetuju untuk mengekalkan dahulu dasar sedia ada dengan kadar faedah dikekalkan di paras yang tinggi.
Situasi semasa kini di permulaan 2024 sedikit berbeza berbanding penghujung 2023 lalu ketika majoriti pasaran menjangkakan Fed bakal beralih untuk dasar yang longgar dengan kadar faedah dijangka diturunkan seawal Mac.
Indeks dolar (DXY) diteliti kembali meningkat dari paras 100.60 pada penghujung Disember lalu, begitu juga hasil perbendaharaan 10 tahun AS (US10Y) melepasi semula paras 4.00% dari paras Disember sekitar 3.80%.
Selain US dolar yang memaparkan sedikit pemulihan semalam, pergerakan mata wang utama yang lain turut perlahan dengan pelabur terus mengambil langkah berjaga-jaga sebelum gelora yang bakal melanda di penghujung minggu.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent masing-masing paparkan pemulihan semula semalam selepas kejatuhan ketara harga di awal minggu.
Dagangan emas pula mendatar pada zon harga $2,030 sementara pelabur bersiap siaga untuk risiko kejatuhan lebih rendah komoditi itu pada minggu ini.