Harga minyak jatuh lagi untuk hari kedua pada Rabu selepas laporan bahawa simpanan minyak mentah AS yang merupakan pengguna minyak terbesar dunia melonjak dan menandakan pengeluar utama tidak mungkin mengubah dasar pengeluaran mereka pada mesyuarat minggu depan.
Minyak mentah Brent untuk Mei turun 74 sen (0.9%) kepada $85.51 per tong. Kontrak Mei ditetapkan untuk tamat pada hari Khamis dan kontrak Jun yang lebih aktif didagangkan merosot 68 sen (0.8%) pada $84.95.
Manakala, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk Mei turun 64 sen (0.8%) kepada $80.98.
Harga telah berundur minggu ini sejak naik ke tahap tertinggi sejak Oktober minggu lalu dan kekal kira-kira 3% di atas purata harga penutupan pada minggu pertama bulan Mac.
Menurut Jun Rong Yeap, Ahli Strategi Pasaran IG di Singapura berkata peningkatan mendadak dalam inventori minyak mentah AS dan jangkaan untuk kemungkinan tidak beruabh oleh OPEC+ dalam dasar pengeluarannya minggu depan menyaksikan penurunan harga minyak pada sesi hari ini kerana pengambilan untung semakin pantas berikutan rali kukuh pada pertengahan Mac.
Inventori minyak mentah AS meningkat sebanyak 9.3 juta tong pada minggu berakhir 22 Mac. Namun, stok petrol jatuh sebanyak 4.4 juta tong.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu yang diketuai oleh Rusia dan juga dikenali sebagai OPEC+ tidak akan membuat sebarang perubahan dasar pengeluaran minyak sehingga perhimpunan penuh menteri pada Jun.
Kumpulan itu akan mengadakan mesyuarat dalam talian oleh Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menterinya pada 3 April untuk mengkaji semula pasaran dan pelaksanaan pemotongan keluaran anggota.
Awal bulan ini, ahli OPEC+ bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran mereka kira-kira 2.2 juta tong sehari hingga akhir Jun.
Sementara itu, Rusia telah mengarahkan syarikat untuk mengurangkan pengeluaran mereka bagi mematuhi sasaran. Kementerian minyak Iraq berkata pada 18 Mac ia akan mengurangkan eksportnya untuk mengimbangi pengeluaran lebih awal melebihi had kuotanya.