Kerajaan Malaysia bakal mengumumkan pelaburan terbesar dalam sektor perumahan mampu milik sebanyak RM13 bilion dalam usaha menangani krisis perumahan yang semakin mendesak, terutamanya di kalangan penjawat awam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman rasmi bulan depan, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Pelan ini dikatakan akan memberi peluang kepada lebih 688,000 penjawat awam yang masih belum memiliki rumah untuk merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.
Nga menyatakan projek ini sebagai komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira kedudukan atau pendapatan, dapat memiliki rumah pada harga mampu milik.
Fokus utama diberikan kepada penjawat awam, namun langkah ini turut mencetuskan pelbagai persoalan dan spekulasi.
Pelaburan sebesar RM13 bilion tentunya memberi harapan kepada ramai, tetapi mampukah ia benar-benar menyelesaikan masalah?
Dengan pasaran hartanah yang semakin mahal dan kos hidup yang kian menekan, banyak pihak tertanya-tanya sama ada perancangan ini realistik atau hanya sekadar gimik politik.
Lebih menarik, pengumuman ini hadir ketika kerajaan berdepan tekanan untuk menangani isu ekonomi yang lebih luas.
Adakah langkah ini akan membawa penyelesaian jangka panjang ketika rakyat semakin hilang kemampuan untuk memiliki kediaman sendiri?
Kini, semua mata tertumpu kepada butiran yang bakal diumumkan.