Ringgit teruskan rentak positifnya dengan dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kemungkinan peluang berlakunya penurunan kadar faedah di AS menjelang September semakin cerah dan peningkatan data-data tempatan yang sihat.
Pada jam 10.10 pagi, ringgit berada pada kedudukan 4.4250 iaitu kukuh sebanyak 0.47% berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.4440 hari Selasa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata prestasi ringgit agak optimis di tengah-tengah jangkaan hasil data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik pada suku kedua 2024 pada Jumaat ini.
Berdasarkan Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS, ia mencatatkan angka yang lebih rendah daripada jangkaan pada 2.2% untuk bulan Julai berbanding anggaran konsensus 2.3% dan 2.7% pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, PPI Core juga turun kepada 2.4% daripada 3.0% sebelumnya.
Walau bagaimanapun, pasangan USD/MYR mungkin akan bergerak menuju ke arah paras sokongan pada RM4.40 sepanjang minggu ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia jatuh berbanding euro kepada 4.8796/4.8928 daripada 4.8520/4.8591 pada penutup semalam, susut berbanding yen Jepun kepada 3.0193/3.0278 daripada 3.0053/3.0099 dan susut berbanding pound British kepada 5.7095/5.7249 daripada sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Mata wang tempatan itu lebih tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 280.3/281.1 daripada 280.6/281.1 dan lebih kukuh berbanding peso Filipina pada 7.79/7.81 daripada 7.80/7.81 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3693/3.3786 daripada 3.3590/3.3642 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.6655/12.7081 daripada 12.6351/12.6578 sebelumnya.