Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS di tengah-tengah sentimen berhati-hati kerana pasaran perlu mencerna beberapa data penting sepanjang minggu ini.
Pada jam 9 pagi, ringgit didagangkan lebih kukuh pada 4.7140 berbanding dolar AS daripada ia ditutp 4.7160 pada penutup Jumaat lepas.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata terdapat beberapa siri data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang akan mempengaruhi sentimen pasaran.
Katanya lagi, data Indeks Pengilangan ISM untuk Jun yang akan diterbitkan pada jam 10 malam ini dijangka kekal di bawah 50 mata bagi menyambung penguncupan selama dua bulan berturut-turut.
Selain itu, terdapat laporan Penyiasatan Pembukaan Pekerjaan dan Buruh (JOLTS) pada hari Selasa, Pekerjaan ADP pada Rabu dan Non-Farm Payroll (NFP) pada Jumaat.
Bermula hari ini, permulaan dagangan separuh kedua 2024 akan disajikan dengan beberapa peristiwa penting di Eropah seperti pilihanraya UK dan Perancis. Amerika Syarikat yang berlangsung pada November juga mempunyai pengaruh penting pada sentimen pasaran.
Mesyuarat FOMC yang dijadualkan pada Khamis ini akan dipantau rapi bagi melihat petunjuk kemungkinan pelonggaran monetari pada masa akan datang.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi awal.
Ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 2.9274/9301 daripada 2.9345/9365 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9632/9683 daripada 5.9639/9676 . Ia susut berbanding euro kepada 5.0643/0685 daripada 5.0494 pada penutupan Jumaat
Ringgit juga kebanyakannya lebih tinggi berbanding rakan setara Asean.
Nota tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4777/4809 daripada 3.4792/4816, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8307/8472 daripada 12.8508/8646 dan ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 287.8/288.2 daripada 287.3/2.
Namun, ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.05/8.06. – Bernama