Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat selepas mengalami pembetulan teknikal semalam.
Pada jam 10.40 pagi, mata wang tempatan itu didagangkan lebih kukuh pada paras 4.1260 iaitu kukuh 0.34% berbanding mata wang USD daripada ia ditutup pada 4.1430 hari Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam berkata pembetulan teknikal ringgit semalam disebabkan oleh aktiviti belian berlebihan yang menyebabkan segelintir peniaga mendapatkan keuntungan.
Namun, persepsi pengurangan kadar faedah di AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) Amerika Syarikat itu kekal berpotensi pada November dan Disember.
Selain itu, peserta pasaran perlu memantau pengumuman mengenai inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS malam Jumaat ini.
Beliau berkata paras sokongan segera untuk ringgit adalah di paras RM4.0728 dan beliau yakin mata wang tempatan itu cenderung ke paras berkenaan berikutan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin kekal bagi tempoh berbaki tahun ini sehingga 2025.
Sentimen ini menjadikan ringgit dilihat menarik terutama selepas bank pusat di rantau Asia yang telah memulakan langkah pelonggaran monetari seperti Indonesia dan Filipina.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8442/8504 daripada 2.8634/8674 semalam, mengukuh berbanding euro kepada 4.6084/6179 daripada 4.6157/6218 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5284/5398 daripada 5.5317/5391.
Berbanding mata wang Asean, ringgit juga diniagakan secara positif.
Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2109/2181 daripada 3.2204/2249 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.39 daripada 7.40/7.41.
Ia juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 271.8/272.6 berbanding 273.1/273.6 dan meningkat kepada 12.7229/7570 daripada 12.7242/7489 berbanding baht Thailand semalam. – Bernama