Bank Negara Malaysia dalam ulasannya menyebut ringgit meningkat dengan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terutamanya sejak awal Julai susulan pergerakan kadar faedah yang lebih jelas oleh Federal Reserve (Fed).
Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata perbezaan kadar faedah yang lebih mengecil dengan AS akan menyokong aliran masuk portfolio memandangkan prospek ekonomi Malaysia yang positif.
Dari sudut tempatan, landskap domestik juga agak positif dengan pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan peningkatan perlindungan sosial menawarkan peluang untuk meneruskan perubahan yang bermakna.
Selain itu, tindakan terselaras antara kerajaan dan BNM yang membantu keseimbangan aliran dana lebih baik akan diteruskan dan ini memberikan sokongan kukuh terhadap ringgit.
Katanya lagi, pembaharuan struktur secara berterusan oleh kerajaan ditambah dengan prospek ekonomi yang bertambah baik akan terus mengekalkan minat global untuk melabur di Malaysia.
Malaysia memberi fokus utama terhadap kemampanan dan menetapkan matlamat dan rancangan untuk mengoptimumkan struktur sukuk yang pelbagai bagi membiayai peralihan lancar kepada ekonomi mampan.
Di Asia, dianggarkan $1.7 trilion diperlukan setiap tahun bagi pembangunan infrastruktur dengan jurang ketara $800 bilion dalam pembiayaan iklim terutamanya dalam tenaga boleh baharu.
Manakala di Malaysia pula, sukuk merupakan instrumen pembiayaan penting dalam menyokong keperluan pembiayaan ekonomi dengan sejumlah $56 bilion sukuk diterbitkan pada 2023 dengan penumpuan utama kepada tenaga boleh baharu dan hartanah hijau.
Adnan percaya peluang besar untuk terus memanfaatkan lagi kekuatan Asia dalam terbitan bon mampan menerusi sinergi dengan kepakaran Malaysia dalam kewangan Islam.
Asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan kematangan ekosistem kewangan Islam turut meletakkan negara ini sebagai hab semula jadi bagi tujuan pelaburan patuh Syariah.
Di peringkat serantau, BNM percaya penyelesaian kewangan inovatif termasuk instrumen kewangan Islam menjadi kunci untuk menyokong agenda kemampanan negara-negara Asean. – Bernama