Nilai ringgit teruskan alur penurunannya yang ditutup rendah semalam berbanding dolar AS di saat berlakunya jangkaan penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve pada Mac nanti.
Tepat jam 10.30 pagi tadi, ringgit susut ke paras 4.6900 berbanding ia ditutup semalam pada sekitar 4.6677.
Standard Chartered Bank menjangka Fed akan menurunkan kadar faedah sebanyak empat kali pada 2024 yang berjumlah 100 mata asas dengan inflasi dan geopolitik menjadi faktor utama dalam penentuan tersebut.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Afzanizam Rashid berkata pasaran kini masih mengamalkan mod ‘risk-off’ dan ini akan membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS.
Ketegangan di Timur Tengah khususnya di Laut Merah pula terus menjadi pemacu utama dalam memberi tekanan kepada ringgit buat masa terdekat.
Sementara itu, data yang menjadi tumpuan minggu ini ialah keluaran pertumbuhan ekonomi suku keempat 2023 China dan jualan runcit AS pada Disember.
Buat masa ini, pasangan USD/MYR akan terus berlegar-legar di paras RM4.66 hingga RM4.79 sambil menunggu laporan penting pada malam ini.
Ringgit lagi sekali dibuka rendah berbanding kumpulan wang utama dunia. Ia merosot berbanding euro kepada 5.1189 dan pound Britain kepada 5.9489.
Mata wang tempatan itu juga masih mengecewakan berbanding kumpulan mata wang Asean. Ia merendah berbanding baht Thailand, dolar Singapura dan rupiah Indonesia. Ringgit juga hampir tidak ketara berbanding nilai peso filipina.