Tumpuan pasaran kewangan sejak semalam adalah tertumpu kepada berita berkenaan kelulusan ETF Bitcoin oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) yang ‘menghijaukan’ pasaran kripto hari ini.
Sementara, pergerakan mata wang utama dalam pasaran kini sedang diperhatikan para pelabur menjelang terbitan data inflasi AS pada sesi New York malam ini, jam 9.30 malam waktu tempatan.
Meneliti angka ramalan, kadar inflasi tahunan AS bakal dijangka meningkat dari 3.1% sebelum ini kepada 3.2% untuk bulan Disember.
Peningkatan kadar inflasi terbaru akan selari dengan bacaan data pekerjaan NFP AS yang telah diterbitkan pada penghujung minggu lalu.
Situasi ini berkemungkinan akan menguatkan kecenderungan untuk Federal Reserve (Fed) mengekalkan dasar yang ketat sedia ada, berbanding ramalan sebelum ini untuk beralih kepada pelonggaran dasar monetari.
Bacaan data-data ini akan menjadi petunjuk awal, namun pasaran tetap akan menantikan keputusan lebih jelas pada mesyuarat FOMC pertama 2024 pada awal Februari nanti.
Seperti ‘roller-coaster’, mata wang US dolar kembali bergerak lemah semula pada Rabu semalam seperti yang dijangkakan penganalisis dengan ketidaktentuan menjelang data inflasi AS.
Mata wang Eropah Euro dan Pound pamer peningkatan nilai semula semalam sementara dolar Australia dan dolar Kanada mendatar.
Namun berbeza situasi untuk mata wang Yen Jepun yang didagangkan lebih lemah berbanding US dolar, dilihat mengalami penjualan agak ketara.
Perkembangan komoditi, harga minyak gagal teruskan pemulihan apabila kedua-dua penanda aras kembali jatuh. Minyak WTI susut semula ke sekitar $71.10 setong manakala minyak Brent junam ke paras $76.20 setong.
Emas pula kekal mendatar pada zon harga $2,030 sementara pelabur bersabar menantikan data inflasi AS yang dijangka akan memacu pergerakan komoditi berharga tersebut di penghujung minggu.