Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencetuskan sorakan gemuruh setelah mengumumkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 berkuatkuasa pada Februari 2025, menjadikannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menyahut seruan Belanjawan 2025 untuk kebajikan pekerja.
Langkah berani ini membawa khabar gembira kepada 34,000 pekerja TNB di seluruh negara sekaligus menetapkan standard baharu dalam sektor GLC, menunjukkan komitmen kukuh syarikat terhadap keadilan tenaga kerja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji inisiatif ini dalam ucapannya semasa sambutan ulang tahun ke-75 TNB, menyifatkan TNB sebagai GLC teladan yang mementingkan kebajikan pekerja di sebalik keuntungan.
Di hadapan 34,000 kakitangan TNB, Anwar menegaskan bahawa kejayaan sebuah syarikat bukan hanya bergantung pada kebijaksanaan pihak pengurusan, tetapi juga didorong oleh dedikasi dan komitmen pekerja di semua peringkat.
Anwar turut menggesa TNB bersiap sedia dalam memainkan peranan besar sebagai hab tenaga utama di rantau Asean apabila Malaysia mengambil alih kerusi serantau tahun depan.
Melalui sokongan inisiatif Asean Grid, Malaysia diharap mampu menjadi nadi utama sektor tenaga serantau yang lebih lestari dan selamat.
Langkah proaktif TNB ini bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada pekerjanya tetapi juga menjadikan TNB sebagai penanda aras untuk GLC lain mengikutinya.