Prestasi suram menyelubungi dagangan US dolar pada pembukaan awal minggu menyambung kerugian yang dialami pada minggu lepas.
Menjejaki indeks dolar (DXY) yang bergerak di bawah paras 104.00 mata, hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) juga alami sedikit penurunan dari paras ketinggian 4.35% yang dicapai.
Pasaran akan memberi perhatian kepada terbitan data pesanan barangan tahan lama AS serta tinjauan keyakinan pengguna AS pada sesi New York malam ini untuk menilai arah pergerakan semasa raja mata wang itu.
Seterusnya, bacaan terbaru bagi pertumbuhan ekonomi AS suku terakhir 2023 akan dipantau pada Rabu sebelum tumpuan beralih kepada data indeks harga PCE pada Khamis yang menjadi sebahagian komponen inflasi yang diperhatikan oleh bank pusat.
Spekulasi semasa yang berlegar dalam pasaran mengarahkan Federal Reserve (Fed) untuk melakukan pemotongan kadar faedah pertama tahun ini pada Jun.
Situasi ini semakin berubah daripada jangkaan asal sebelum ini untuk langkah tersebut dilaksanakan pada Mac dan Mei disebabkan data-data ekonomi yang hadir dengan kukuh.
Mata wang Eropah Euro dan Pound berjaya paparkan pengukuhan berbanding US dolar di awal minggu namun sebaliknya untuk dolar Aussie dan Yen yang melemah.
Pergerakan tak menentu pasaran ini dijangka bakal berterusan sehingga ke penghujung minggu membuatkan pelabur tambah berhati-hati untuk melakukan dagangan.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent masing-masing paparkan lonjakan ke paras $77.80 dan $82.10 setong.
Manakala dagangan emas pada awal minggu sedikit suram berbanding penutup minggu lalu apabila melihatkan harga sedikit susut untuk berlegar di sekitar paras $2,030.