Momentum pengukuhan US dolar mula mengendur pada dagangan penghujung minggu lepas, namun situasi tersebut telah dijangka dan diberi amaran oleh penganalisis.
Pelabur telah menyaksikan prestasi baik US dolar untuk 3 minggu berturut-turut walaupun selepas Federal Reserve (Fed) memulakan pelonggaran dasar dengan pemotongan agresif kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat September lalu.
Faktor lain yang menjadi tumpuan seperti data-data ekonomi terbaru dan sentimen pasaran yang berisiko telah menyokong US dolar daripada alami kejatuhan.
Namun, pasaran kini sedang bersedia menjangkakan perubahan kepada sentimen pasaran global yang pulih di mana bakal disokong oleh rancangan rangsangan ekonomi China.
Kerajaan China melancarkan dua skim dana untuk lonjakkan pasaran saham mereka dan ini turut memberi kesan positif terhadap pasaran global termasuk peningkatan pada indeks utama seperti S&P 500 dan Nasdaq.
Peningkatan nilai mata wang Yuan juga turut mengangkat naik nilai mata wang komoditi seperti dolar Australia dan New Zealand sementara mengurangkan tarikan terhadap mata wang safe-haven.
Perkembangan situasi di Timur Tengah terus dipantau selain pasaran dalam keadaan berwaspada dengan ketidaktentuan menghampiri acara pilihan raya Presiden November ini.
Walaupun penganalisis menilai penyusutan US dolar di penghujung minggu lepas sekadar pembetulan harga dengan aktiviti pengambilan untung (profit taking) oleh pemain pasaran, namun situasi tersebut boleh berterusan pada dagangan awal minggu ini.
US dolar masih disokong oleh faktor jangkaan dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang kurang agresif untuk pelonggaran dasar yang bakal diteruskan pada mesyuarat November nanti.