Semakin menuju dagangan di penghujung minggu, US dolar semakin hilang kekuatan menyaksikan penyusutan nilai semakin jelas pada Khamis semalam.
Tarikan terhadap raja mata wang itu pudar ketika pelabur berwaspada menjelang data penting yang akan diterbitkan pada penghujung minggu ini iaitu laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) untuk bulan November.
Petunjuk awal kurang memberangsangkan apabila bacaan ADP yang mengukur pekerjaan swasta diterbitkan pada Rabu lalu hadir dengan angka yang lebih lemah dari jangkaan.
Pelabur kini menantikan laporan NFP diterbitkan di sesi New York malam ini (Jumaat) pada jam 9.30 malam waktu tempatan, yang hadir bersama data pekerjaan Kanada.
Bacaan terbaru kali ini adalah penting untuk pasaran menilai semula pertambahan pekerjaan di AS berikutan pada laporan terdahulu, angka yang diterbitkan iaitu sebanyak 12,000 itu tidak tepat ekoran bencana yang melanda.
Ramalan menunjukkan pertambahan sekitar 218,000 pekerjaan untuk November dengan kadar pengangguran berkemungkinan kekal di paras 4.1%.
Laporan terbaru itu akan memacu pandangan ahli-ahli Federal Reserve (Fed) berkenaan dasar monetari selanjutnya menjelang mesyuarat FOMC pada 19 Disember nanti.
Selepas itu, petunjuk berikutnya Fed adalah pada data inflasi AS yang akan diterbitkan pada minggu hadapan.
Indikator bagi mata wang US dolar ketika ini masih memberi isyarat suram dengan indeks dolar (DXY) susut ke paras 105.800 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS jatuh di bawah 4.20%.
Pelabur mengambil langkah berjaga-jaga dengan jangkaan impak besar pergerakan harga pada sesi terakhir minggu ini ketika laporan NFP menjadi tumpuan.