- US dolar susut ke paras terendah 3 minggu
- Data PMI tinjauan ISM catat angka merosot
- BOC & ECB dijangka turunkan kadar faedah 25 mata asas
Malang menimpa nasib mata wang US dolar pada dagangan awal minggu semalam apabila pamerkan prestasi merosot dengan penyusutan nilai ke paras terendah 3 minggu.
Situasi ini telah dipengaruhi oleh reaksi pasaran terhadap laporan tinjauan ISM untuk sektor pembuatan Amerika Syarikat (AS) untuk Mei yang mencatatkan penguncupan lebih besar berbanding ramalan.
Ini menyusuli laporan pertumbuhan ekonomi AS suku pertama yang menguncup serta data perbelanjaan peribadi pengguna AS yang sedikit menurun, mencatatkan peningkatan paling perlahan untuk tahun 2024.
Data-data terbaru yang hadir dengan bacaan yang menjurus kepada risiko terhadap ekonomi AS, bakal meningkatkan semula jangkaan untuk pelaksanaan langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).
Indeks dolar (DXY) merudum jatuh ke paras 104.00 mata, terendah sejak awal April semetara hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula jatuh ke paras terendah 2 minggu ke sekitar 4.4%.
Sentimen pasaran global juga turut memberi amaran bahaya kepada pelabur dengan petunjuk oleh data ekonomi China yang turut merosot diterbitkan minggu lepas.
Tumpuan untuk pelabur pada minggu ini akan terarah kepada data petunjuk seterusnya iaitu data pekerjaan AS dengan laporan JOLTS pada Selasa, data ADP pada Rabu dan paling utama pada Jumaat iaitu laporan pekerjaan NFP.
Ini akan membantu memberi arah kepada Fed untuk penetapan dasar monetari dan jika kesemua data hadir dengan angka yang kurang memberangsangkan, semakin tinggi jangkaan untuk Fed potong kadar faedah.
Antara lain yang menjadi tumpuan adalah keputusan mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) dan European Central Bank (ECB) di mana kedua-dua bank pusat dijangka akan menurunkan kadar faedah masing-masing sebanyak 25 mata asas.
Bank-bank pusat utama sebelum ini telah memberi isyarat lebih awal untuk memulakan langkah pemotongan kadar faedah, bermula pada Jun, tanpa perlu menunggu Fed melakukannya terlebih dahulu.