US dolar pamerkan lantunan pada dagangan pembukaan sesi New York semalam untuk memulih dari kejatuhan ke paras terendah 13 bulan menjelang acara simposium Jackson Hole di penghujung minggu ini.
Tumpuan terarah kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan di awal sesi New York mempengaruhi arah pergerakan US dolar.
Angka kukuh bagi bacaan sektor perkhidmatan bulan Ogos yang mengatasi ramalan telah menyuntik semula pengukuhan buat US dolar meskipun bacaan bagi sektor pembuatan menunjukkan penguncupan.
US dolar sekadar pamerkan pengukuhan di awal sesi ketika data diterbitkan namun momentum mula pudar ketika dagangan yang menuju ke penghujung sesi tersebut.
Data yang sama turut diterbitkan pada sesi Eropah sebelumnya menyaksikan bacaan yang suram di Jerman, namun cemerlang di UK dengan angka kedua-dua sektor mengatasi bacaan bulan lalu.
Pelabur kekal berhati-hati menantikan bermulanya acara simposium Jackson Hole pada Jumaat dengan tumpuan utama terarah kepada Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang dijangka akan menyampaikan mesej penting berkenaan dasar monetari menjelang mesyuarat September nanti.
Mata wang utama lain dalam pasaran mula goyah sedikit ketika US dolar sudah mula ‘tersedar’ dari kejatuhan berterusan sebelum ini.
Namun, situasi masih dalam keadaan berjaga-jaga ekoran raja mata wang itu kekal berisiko untuk menyusut dengan jangkaan kesan reaksi nada dovish Powell dalam ucapannya malam nanti.