- USD papar pengukuhan semula
- Fed Kashkari setuju kadar faedah semasa dikekalkan lebih lama
- Emas berisiko susut semula ke $2,300
Selepas dilihat tidak meneruskan corak penyusutan di awal minggu, US dolar pada dagangan Selasa semalam khususnya di sesi New York, kembali memaparkan pengukuhan semula berbanding beberapa mata wang utama.
Pasaran berkemungkinan kembali meletakkan tumpuan terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed) dengan pandangan-pandangan terbaru pegawai Fed.
Selepas mesyuarat FOMC yang hawkish minggu lalu, beberapa Presiden Fed dari cawangan berbeza dilihat turut bersependapat dengan Pengerusi Jerome Powell untuk mengekalkan dasar yang ketat.
Presiden Fed Minneapolis Neel Kashkari dalam satu persidangan menyebut bahawa bank pusat masih perlu untuk mengekalkan kadar faedah semasa pada tempoh lebih lama, berkemungkinan sepanjang tahun ini.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan langkah pemotongan kadar faedah bakal dilaksanakan sekiranya inflasi menurun.
Indeks dolar (DXY) semakin mendaki menghampiri semula ke paras 105.50 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) sedikit melantun selepas terperosok jatuh mencecah 4.420%
Kekurangan data ekonomi tumpuan pada hari ini akan menambahkan lagi ketidaktentuan pergerakan harga dalam pasaran.
Pelabur berkemungkinan akan berhati-hati menantikan terbitan data inflasi AS pada minggu hadapan selepas petunjuk data pekerjaan NFP diperhatikan minggu lalu.
Pengukuhan semasa US dolar dijangka akan memberi tekanan terhadap dagangan emas semasa yang menunjukkan pemulihan harga di awal minggu.
Harga emas berisiko untuk susut semula ke sekitar $2,300 atau lebih rendah.