US dolar paparkan prestasi cemerlang semalam untuk beberapa sesi namun momentum gagal diteruskan ketika dagangan beralih ke sesi New York.
Pelabur memberi tumpuan kepada data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) di sesi New York semalam, bacaan angka pertumbuhan untuk suku keempat 2023 yang lalu sedikit tersasar daripada ramalan untuk kekal seperti bacaan awal pada 3.3%.
Angka diterbitkan sedikit menguncup kepada 3.2%.
Ini sedikit memberi amaran awal untuk risiko terhadap ekonomi AS yang membuatkan US dolar melemah, namun masih terlalu awal untuk menilai ketika data-data yang lain perlu diperhatikan.
Tumpuan lebih utama akan terarah kepada data yang akan diterbitkan di sesi New York malam ini (Khamis) yang menjadi sebahagian komponen inflasi iaitu indeks perbelanjaan peribadi pengguna (PCE) AS yang turut menjadi perhatian Federal Reserve (Fed).
Data pada jam 9.30 malam itu akan diterbitkan bersama laporan tuntutan faedah pengangguran AS serta data pertumbuhan ekonomi Kanada.
Indeks dolar (DXY) mendatar di sekitar paras 104.00 mata sejak semalam sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS susut sedikit dari paras 4.30% yang dicapai.
Mata wang Asia pada dagangan Rabu semalam pamer prestasi mengecewakan apabila dolar Australia menjunam susulan pasaran memberi reaksi terhadap data inflasi yang diterbitkan.
Sementara dolar New Zealand pula ketara susut nilai selepas keputusan mesyuarat polisi monetari oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah papar pemulihan positif ketika OPEC+ dilaporkan bersetuju untuk melanjutkan langkah pemotongan pengeluaran bekalan.
Sementara, pelabur emas kekal berwaspada menyaksikan pergerakan harga logam kuning itu yang terus berlegar di zon $2,030 sehingga dagangan menuju ke penghujung minggu ini.