- USD pulih dari kemerosotan
- Yen jatuh ke paras terendah sejak 1990, risiko ‘intervention’ Jepun
- Data KDNK AS suku pertama jadi tumpuan
Dagangan US dolar sedikit baik pada Rabu semalam berbanding penyusutan ketara yang telah berlaku pada hari sebelumnya susulan reaksi terhadap penilaian aktiviti perniagaan di Amerika Syarikat (AS) yang merosot pada April.
Berbanding US dolar, mata wang Yen jatuh ke paras terendah sejak tahun 1990 apabila harga menyentuh paras terbaru di zon 155.00.
Ini menjadi amaran kepada pasaran untuk bersiap sedia dengan kemungkinan langkah campur tangan oleh bank pusat dan kerajaan Jepun terhadap risiko mata wang itu.
Tumpuan akan diberikan pada sesi Asia esok hari (Jumaat) dengan berlangsungnya mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ).
Kadar faedah dijangka kekal di paras 0.10% selepas peningkatan dari paras negatif sebelum ini.
Seperti yang dijangkakan penganalisis, penyusutan US dolar yang tercetus pada Selasa lalu dilihat bersifat sementara dengan jangkaan masih terdapat potensi untuk raja mata wang itu ‘terjaga’ semula.
Isyarat lebih jelas akan dinantikan menerusi data penting yang akan diterbitkan di sesi New York malam nanti yang mengukur pertumbuhan ekonomi AS bagi suku pertama 2024.
Bacaan awal bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diterbitkan, namun jangkaan angka adalah lebih rendah berbanding catatan suku terakhir 2023 lalu.
Petunjuk seterusnya akan dinilai menerusi data indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS, akan diterbitkan di sesi New York pada Jumaat.
Kedua-dua data yang menjadi tumpuan Federal Reserve (Fed) ini dijangkakan akan memberi impak besar terhadap pergerakan pasaran di penghujung minggu.
Dagangan emas pada Rabu semalam dilihat bergerak mendatar selepas harga yang jatuh pada hari sebelumnya dan mencecah paras $2,300 telah melantun semula.