Tidak memeranjatkan pelabur apabila menyaksikan emas terus menerus mencipta rekod harga tertinggi terbaru sepanjang masanya itu sepanjang minggu ini.
Sebelum ini, harga emas telah beberapa minggu memaparkan corak pergerakan positif dengan peningkatan yang mengatasi rekod terdahulu dicatatkan pada Oktober 2024.
Suasana pasaran yang tidak menentu dan berisiko mengekalkan tarikan pelabur terhadap aset safe-haven emas, lebih-lebih ketika peralihan pentadbiran baharu di Amerika Syarikat (AS) di awal tahun 2025 ini.
Meneliti pergerakan pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, harga menunjukkan peningkatan ke paras ketinggian baharu semalam mencapai 2882.00.
Pergerakan harga jika diperhatikan kekal berada di atas garisan sokongan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta itu yang menunjukkan isyarat bullish buat emas.
Mendatar di sekitar 2870.00 pada sesi Asia pagi ini, harga sedikit menurun di awal dagangan sesi Eropah menghampiri sokongan MA50.
Pelabur kekal optimis untuk kenaikan lebih tinggi emas dengan sasaran menuju kepada 2900.00.
Rekod tertinggi terbaru emas akan terus dicatatkan sekiranya tiada sebarang isyarat untuk perubahan arah harga.
Namun sebaliknya jika harga mula susut di bawah sokongan MA50, pelabur akan mula bersedia untuk petanda awal kejatuhan.
Penurunan harga dijangka akan menghampiri dahulu zon tumpuan pada 2800.00 sebelum reaksi di sekitar itu akan diperhatikan untuk petunjuk pergerakan selanjutnya.
Jatuh lebih rendah akan mendorong harga menguji zon RBS (resistance become support) pada 2770.00 sebelum ke paras yang lebih rendah.
See the XAU/USD price chart image below for your technical analysis reference.