Lepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif 145% ke atas barang China, nama Malaysia terus naik dan muncul sebagai RnR popular untuk kontena.
Bukan pelancong yang datang, tapi barang-barang buatan China yang nak ‘bersihkan diri’ sebelum masuk ke Amerika.
Menurut laporan Bloomberg, trader AS mula dihujani tawaran dari ejen luar negara yang boleh tolong jimat kos import mereka dengan satu syarat yang penting iaitu barang tersebut tidak akan terus dihantar ke China.
Perlu lalu Malaysia dulu, tukar baju, sembur minyak wangi bau nasi lemak, baru masuk negara lain.
Seorang peniaga dalam talian, Aaron Rubin, mendakwa pernah ditawarkan tawaran yang menggiurkan itu sehingga boleh mendapat diskaun cukai sehingga $29,000 namun beliau memilih untuk menolaknya dan melaporkan ejen tersebut kepada pihak berkuasa.
Namun dengan tarif yang semakin naik di negara lain agak sukar untuk peniaga lain menolak tawaran yang memukau ini, menimbulkan kerisauan bahawa Malaysia mungkin akan menjadi ‘lubang belakang’ besar dalam perang dagang AS-China.
Tapi bila semakin banyak barang China tiba-tiba berlabel “Made in Malaysia”, jangan pelik kalau kastam AS mula menyasarkan tarif kepada Malaysia pula.
Dan kalau tiba-tiba tarif terhadap Malaysia mula naik, siapa yang akan bayar harga sebenarnya?
Rakyat kita? Industri kita? Atau kita semua sekali sebab terlalu bermurah hati membuka pintu untuk orang lain ‘rehat’?