Tumpuan pada dagangan sesi New York semalam terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat Eropah ketika pasaran mengekalkan jangkaan untuk langkah pelonggaran dasar akan diteruskan.
Menepati ramalan, European Central Bank (ECB) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas daripada 2.90% sebelum ini kepada 2.65% terbaru, penurunan kali ke-6 sejak Jun 2024.
Seperti yang dijangka, Euro mengalami penyusutan nilai selepas pengumuman kadar faedah tersebut, namun hanya sedikit sahaja jika dibandingkan dengan lonjakan nilai yang berterusan dari awal minggu.
Kenyataan susulan oleh bank pusat disampaikan dengan berhati-hati dengan amaran situasi pasaran yang tak menentu berikutan faktor perang dagang, selain rancangan perbelanjaan pertahanan di Eropah boleh meningkatkan semula inflasi.
Sementara, US dolar kekal dilihat bergerak dalam prestasi lemah berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin tinggi.
Ini berikutan risiko tindakan balasan tarif oleh negara-negara terlibat ke atas AS semula boleh menjejaskan ekonomi terbesar dunia itu.
Penyusutan US dolar yang berterusan dari awal minggu sedikit mereda apabila Presiden Donald Trump pada Khamis semalam sekali lagi menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada.
Ini kali kedua Trump berbuat demikian selepas menangguhkan tarif itu pada Februari lalu sebelum sempat diteruskan sekejap pada awal Mac ini, membuatkan pelabur semakin resah dengan ketidaktentuan pada polisi perdagangan beliau.
Tumpuan seterusnya pasaran di penghujung minggu ini terarah kepada laporan pekerjaan NFP AS yang turut diperhatikan Federal Reserve (Fed) untuk menilai kesihatan pasaran buruh pada Februari.
Petunjuk awal pada laporan ADP yang suram diterbitkan Rabu lalu memberi gambaran kurang baik untuk laporan NFP di sesi New York malam nanti.