Sentimen pasaran berisiko di awal minggu ini ketika pelabur menyaksikan kemerosotan yang kritikal pada pasaran saham global.
Ini disebabkan oleh kemunculan satu aplikasi AI China iaitu DeepSeek yang mempunyai potensi besar mencabar kedudukan aplikasi AI Amerika Syarikat (AS) seperti ChatGPT.
Turut mempengaruhi pasaran mata wang, Yen dan Swiss franc telah menunjukkan peningkatan positif pada dagangan Isnin semalam.
US dolar tampak lemah didagangkan di sesi Eropah semalam, sedikit pulih di sesi New York dan kemudiannya mula menunjukkan pengukuhan di pembukaan sesi Asia pagi ini (Selasa).
Dapat diperhatikan pada carta pasangan mata wang EUR/USD, terdapat isyarat awal untuk perubahan trend harga dengan penurunan yang dipaparkan.
Kenaikan pada Isnin semalam berjaya mencapai ketinggian baharu sekitar 1.05300 mengatasi paras minggu lepas, namun harga susut semula di bawah zon 1.05000.
Di sesi Asia, harga telah turun ke sekitar 1.04300 sebelum pergerakan harga perlahan seketika.
Harga yang telah bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta EUR/USD mencetus isyarat bearish.
Jika penurunan dilanjutkan, harga bakal hampiri sekitar 1.04000 untuk menguji zon tumpuan tersebut seperti pada minggu lalu.
Tembus lebih rendah akan mengheret harga jatuh menuju pula ke zon 1.03000.
Namun jika berlaku lantunan semula harga ke atas, rintangan adalah pada 1.05000 untuk harga tembusi sebelum menjangkakan kenaikan lebih tinggi.
Corak pergerakan minggu lalu jika diteruskan bakal mendorong harga catat ketinggian baharu 8 minggu menuju sasaran 1.06000.
Lihat gambaran carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.