Menjadi tumpuan utama pasaran pada awal pagi ini adalah terhadap keputusan mesyuarat FOMC terbaru yang ditunggu-tunggu pada minggu ini.
Seperti yang dijangkakan, Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 4.25%-4.50% dengan isyarat para penggubal dasar menjangkakan kadar pinjaman akan diturunkan 50% menjelang penghujung tahun ini.
Perhatian diberikan kepada kenyataan susulan yang disampaikan oleh Pengerusi Jerome Powell untuk hala tuju dasar monetari selanjutnya.
Menjelaskan tindakan untuk mengekalkan kadar faedah, beliau menyatakan bahawa ketidaktentuan pada unjuran ekonomi semakin meningkat.
Ahli mesyuarat akan menilai data-data ekonomi terbaru dengan teliti dalam memastikan objektif pekerjaan penuh dan inflasi 2% mampu dicapai.
Selain itu, ahli mesyuarat akan memperlahankan pengurangan pegangan sekuriti dengan mengurangkan had penebusan bulanan pada Perbendaharaan daripada $25 bilion kepada $5 bilion bermula April, yang dilihat sebagai langkah pengetatan kuantitatif (tapering).
Unjuran pertumbuhan ekonomi juga turut diturunkan berikutan kebimbangan terhadap polisi pentadbiran Presiden Donald Trump khususnya isu perang tarif ketika ini yang boleh menjejaskan penilaian terhadap pekerjaan dan inflasi yang akan datang.
Impak terhadap pasaran kewangan, mata wang US dolar dilihat alami penyusutan nilai dan bergerak lemah mengakhiri dagangan pada sesi New York.
Selepas keputusan Bank of Japan (BOJ) dan Fed diketahui, pasaran akan beralih pula kepada mesyuarat polisi Swiss National Bank (SNB) dan Bank of England (BOE) hari ini.
SNB dijangka untuk menurunkan kadar faedah 25 mata asas dari 0.50% kepada 0.25% manakala BOE dijangka kekalkan kadar faedah pada 4.50%.
Di sesi Asia, pelabur meneliti dahulu laporan pekerjaan Australia yang diterbitkan bagi bacaan bulan Februari dan kesan terhadap pergerakan dolar Aussie.
Selain itu, laporan pekerjaan UK juga akan menyusul pada awal pembukaan sesi London petang ini.