Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih tidak menunjukkan tanda-tanda keredaan dalam masa terdekat.
Laporan terbaru menunjukkan White House mengumumkan Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif baharu dengan mengenakan tarif sehingga 245% ke atas produk yang diimport ke Amerika Syarikat dari China.
Sebelum ini, kerajaan AS baharu sahaja melancarkan tarif sebanyak 125% ke atas barangan China dengan tambahan 20% khusus untuk kimia fentanyl dan menjadikan ia 145% secara keseluruhan.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh White House mengenai langkah tarif baharu ini, laporan media Amerika Syarikat yang memetik data terkini menunjukkan kadar tarif yang berbeza-beza terhadap pelbagai import dari China.
Antara yang paling terjejas adalah barangan seperti picagari dan jarum, yang berpotensi dikenakan kadar tarif setinggi 245%. Kadar ini berpunca daripada gabungan pelbagai cukai sedia ada termasuk tarif ke atas keluli, aluminium, kenderaan, levi tambahan serta tarif ‘balas dendam’.
Rangkaian peraturan perdagangan dan tarif yang kompleks telah menimbulkan kesulitan kepada syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang bergantung kepada pembekal dari China.
Dalam beberapa kes, kadar cukai purata ke atas import bahkan melebihi nilai produk itu sendiri.
Memahami implikasi tarif ini terhadap barangan tertentu menjadi amat penting bagi perniagaan, kerana duti import boleh memberi kesan besar terhadap keputusan perolehan, struktur kos operasi dan akhirnya, harga kepada pengguna.