Perbincangan secara bersemuka telah diadakan di antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan timbalannya JD Vance pada pagi Sabtu yang lalu (mengikut waktu Malaysia).
Kunjungan Zelensky itu dengan harapan tinggi untuk mencapai kata sepakat dalam perjanjian mineral bersama Amerika serta jaminan sokongan berterusan dari A.S. terhadap pencerobohan Rusia yang tidak henti-henti.
Lawatan ini digembar-gemburkan sebagai pencapaian diplomatik yang besar, dengan jangkaan pemeteraian perjanjian mineral yang menguntungkan antara kedua-dua negara.
Namun, perbincangan yang pada awalnya lancar tiba-tiba bertukar tegang dan hanya bertahan 10 minit!
Amaran Sebelum Pertemuan
Sebelum melangkah ke Pejabat Oval, Zelensky telah menerima amaran tegas daripada Senator Republikan Lindsey Graham agar tidak terbabit dalam perdebatan sengit dengan Trump berhubung isu keselamatan, menurut laporan New York Times.
Ketenteraman Sebelum Ribut
Situasi awal di Pejabat Oval berlangsung dengan penuh ceria, dengan Trump dan Zelensky bertukar salam erat serta kenyataan mengenai “kerjasama kukuh.”
Naib Presiden J.D. Vance yang duduk berdekatan, bertindak memerhati perbualan dengan teliti.
Zelensky, memulakan percakapannya dengan menegaskan penghargaan Ukraine terhadap bantuan A.S. sebelum ini, namun menyatakan dengan jelas bahawa sokongan berterusan adalah amat penting.
Percikan Pertama – Tekanan untuk Gencatan Senjata
Ketegangan mula timbul apabila Vance mencelah, mendesak Zelensky untuk mempertimbangkan rundingan gencatan senjata dengan Rusia.
Namun Zelensky membalas dengan tegas menolak cadangan tersebut menyatakan Putin yang tidak pernah berhenti menyerang Ukraine.
Ketegangan di dalam bilik tersebut semakin ketara apabila Vance seolah-olah menyalahkan Ukraine kerana memanjangkan peperangan.
Jangan Sibuk Dengan Kami! – Trump Meletup
Apabila topik perbincangan beralih kepada cabaran ketenteraan dan pengambilan tentera di Ukraine, Zelensky memberi amaran bahawa kesan Ukraine mengalah kepada Rusia juga akan dirasai oleh AS.
Zelensky menegaskan bahawa walaupun Amerika Syarikat kini tidak merasakan ancaman Rusia kerana kedudukannya yang jauh dan dikelilingi lautan yang luas, ancaman itu akhirnya akan dirasai pada masa akan datang.
Raut wajah Trump berubah tegang dan mula menaikkan suara, berang apabila Zelensky seolah-olah memberi syarahan kepadanya.
Bagi Trump, Ukraine adalah masalah yang perlu diuruskan, bukan perjuangan moral yang harus diperjuangkan.
Zelensky Yang Silap Langkah
Ketika perbincangan semakin tegang, Zelensky melakukan kesilapan besar dengan menambah ketegangan apabila beliau menyatakan bahawa sejak awal perang, Ukraine berjuang sendirian tanpa sokongan yang mencukupi.
Trump, yang sudah pun berang, segera mematahkan kenyataan itu dengan mengungkit dana sebanyak $350 bilion yang telah dikeluarkan oleh Joe Biden dahulunya.
Vance menyokong Trump dan menekan Zelensky yang tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada Amerika malah bertindak untuk menyokong lawan Trump semasa pilihanraya presiden dahulu.
Kenyataan tersebut merujuk kepada lawatan Zelensky ke sebuah kilang peluru di kampung halaman Joe Biden di Scranton, Pennsylvania, beberapa minggu sebelum pilihan raya 2024.
Ramai Republikan melihatnya sebagai sokongan tersirat kepada Biden, yang semakin merosakkan persepsi mereka terhadap pemimpin Ukraine itu.
Bersyukur Sahaja! – Titik Pecah
Pada ketika ini, perbincangan telah bertukar menjadi konfrontasi sepenuhnya.
Trump menegaskan bahawa pertemuan tersebut akan menjadi perjanjian yang sukar untuk dibuat kerana sikap Zelensky yang perlu berubah manakala Vance menambah untuk Zelensky cukup mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Zelensky, tidak gentar, mempertahankan pengorbanan Ukraine dengan penuh keberanian dan enggan tunduk kepada tekanan.
Tamparan Akhir – ‘Kembali Bila Anda Sedia untuk Damai’
Dengan ketegangan memuncak, Trump tiba-tiba bangun. Mesyuarat berakhir.
Sidang akhbar bersama yang dijadualkan dibatalkan.
Zelensky yang masih terkejut dengan penghinaan terbuka itu, diiring keluar dari Rumah Putih sebelum sempat melakukan sebarang usaha pemulihan keadaan.
Sebelum konvoi beliau beredar, Trump memuat naik kenyataan di media sosial dengan pesanan ringkas dan penuh sindiran iaitu kembali bila anda sedia untuk damai.
Perjanjian mineral? Tidak ditandatangani. Jambatan diplomatik antara Washington dan Kyiv? Goyah.
Dan masa depan bantuan A.S. kepada Ukraine? Semakin tidak menentu.
Masih Ada Harapan?
Berita mengenai perbalahan hangat di Rumah Putih tersebar luas.
Zelensky, dalam wawancara susulan dengan BBC, tetap bertegas bahawa Ukraine masih bersedia menandatangani perjanjian mineral dengan AS dan menegaskan bahawa Ukraine tidak akan tunduk kepada pencerobohan.
Zelensky kembali ke Kyiv dengan tangan kosong, sementara Putin mungkin menyaksikan kekacauan ini dengan senyuman.
Kesan daripada pertemuan ini mungkin akan menentukan nasib Ukraine dan Eropah untuk tahun-tahun mendatang.