Harga minyak ditutup lebih rendah sebanyak lebih $2 per tong pada Khamis, menghapuskan lonjakan sesi sebelumnya apabila para pelabur menilai semula penangguhan yang dirancang dalam pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, tumpuan turut beralih kepada ketegangan perang perdagangan yang semakin meruncing antara Washington dan Beijing.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun $2.28 (3.7%) dengan ditutup pada $60.07 dan Brent turun $2.15 (3.3%) kepada $63.33 per tong.
Kedua-dua kontrak mencatatkan kenaikan melebihi $2 per tong pada Rabu selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump umumkan penangguhan tarif.
Hal ini akan menghentikan sementara pelaksanaan tarif berat yang diumumkannya ke atas puluhan rakan dagang seminggu lalu, menandakan perubahan mendadak dasar hanya kurang 24 jam selepas tarif tersebut mula berkuat kuasa.
Walau bagaimanapun, Trump juga menaikkan tarif terhadap China berjumlah 145%. Manakala, China membalas semula dengan tarif 84%.
Penasihat firma perdagangan, Ritterbusch dan Associated berkata pengenaan tarif yang tinggi terhadap China berkemungkinan mendorong pengurangan import minyak mentah AS oleh Beijing sekali gus menyokong lebihan bekalan serta meningkatkan paras simpanannya.
Data daripada Kpler menunjukkan eksport minyak mentah AS ke China jatuh kepada 112,000 tong sehari pada Mac, hampir separuh daripada 190,000 tong tahun lepas. – Reuters