Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan untuk menegaskan bahawa virus human metapneumovirus (HMPV) yang merebak di China hanyalah satu virus bermusim yang biasa menjangkiti saluran pernafasan.
Kenyataan ini secara tidak langsung telah menyangkal desas-desus mengenai virus tersebut sebagai satu ancaman baharu atau berbahaya.
WHO menjelaskan bahawa penularan virus pernafasan di China masih dalam julat biasa untuk musim sejuk manakala hospital dilaporkan kurang sesak berbanding tahun lalu, dan tiada keadaan kecemasan dilaporkan disebabkan virus ini.
HMPV, yang ditemui pada 2001, biasanya bermula dengan simptom selesema ringan tetapi boleh membawa risiko serius kepada golongan tua dan mereka dengan sistem imun yang lemah.
Walaupun kenyataan ini melegakan namun dalam dunia pasca-pandemik kini, peningkatan kes virus ini secara berterusan wajar dipantau agar tindakan lebih awal dapat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan yang lebih besar.