Kerajaan sasar defisit negara terus menurun dan pada 2025 angka akan capai 3.8% dan menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kerajaan sedang merancang pelbagai langkah untuk membuat penambahbaikan setiap tahun untuk capai angka tersebut.
Trend penurunan defisit ini sudah dapat dilihat dengan angka defisit pada 2023 menurun kepada 5% berbanding 5.5% pada 2022 dan dijangka angka tersebut turun kepada 4.1% pada 2024.
Jumlah hutang kerajaan juga dilihat sudah menurun daripada hampir RM100 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, kemudian kepada sekitar RM77 bilion pada 2024.
Pergantungan Kerajaan terhadap pinjaman dijangka akan berkurang jika trend ini berterusan, hal ini dapat mengelakkan kerajaan daripada mengumpul hutang yang banyak yang akan menjadi beban di masa depan.
Pengurusan bajet juga akan lebih fleksibel memandangkan kerajaan tidak perlu memperuntukkan sebahagian besar daripada bajetnya hanya untuk membayar pinjaman dan faedah.
Kerajaan berhasrat untuk memastikan nisbah hutang kepada KDNK berada di bawah 60%, supaya dapat capai angka defisit yang lebih rendah iaitu 3% pada 2028.