Sudah bertahun lamanya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengamalkan garis panduan hanya memberikan penajaan pendidikan kepada pelajar yang tidak menerima sebarang bantuan pembiayaan lain.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman memberitahu peraturan itu dilaksanakan sejak sekian lama dan bukannya syarat baharu.
Sebelum ini, terdapat isu berkenaan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) ditolak tajaan MARA kerana sudah menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Zulfikri berkata, semasa permohonan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) dibuka pada November 2024, syarat utama penajaan MARA ialah pelajar tidak boleh mendapat tajaan atau bantuan kewangan daripada penaja lain untuk peringkat pengajian yang sama.
Pihak MARA mahu memberi peluang kepada pelajar bumiputera yang tidak menerima biasiswa daripada agensi lain untuk mendapat bantuan pelajaran MARA.
Selanjutnya, MARA komited menyediakan pinjaman kepada pelajar yang menepati syarat bagi memastikan akses pendidikan lebih berkualiti tinggi dan sistematik.
Secara keseluruhan, MARA telah menaja seramai 4,510 pelajar bumiputera dalam bidang perubatan di seluruh negara setakat 31 Mac 2025.