Setelah Elon Musk dan Mr. Beast tersenarai sebagai calon utama yang berpotensi membeli saham atau mengambil alih TikTok, kini Microsoft juga turut melangkah ke dalam ‘queue’ tersebut.
Perkembangan terbaru ini disahkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengungkapkan bahawa perbincangan sedang berlangsung antara Microsoft dan pihak TikTok untuk memastikan aplikasi popular ini terus beroperasi di AS.
Dengan lebih 170 juta pengguna di AS, TikTok kini berada di ambang sekatan sekiranya ia gagal memutuskan hubungan dengan syarikat induknya dari China, ByteDance.
Menurut Trump, beliau berharap proses bidaan untuk mengambil alih TikTok akan mencetuskan ‘peperangan’ antara syarikat-syarikat besar, menunjukkan minat yang ‘luar biasa’ terhadap aplikasi tersebut.
Microsoft, yang dilihat ingin memperkukuhkan kedudukannya dalam ruang iklan digital, kini dilihat sebagai pemain utama yang berpotensi merubah masa depan TikTok.
Perbincangan ini memberi harapan baru, terutamanya setelah Trump menangguhkan penguatkuasaan undang-undang sekatan selama 75 hari, memberi masa tambahan untuk merundingkan perjanjian sebelum larangan tersebut berkuat kuasa.