Sentimen pasaran yang berisiko pada pembukaan awal minggu mula mereda semula berikutan perkembangan terbaru berkenaan situasi perang tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Pada hujung minggu, Trump telah umumkan tarif barangan import ke atas Kanada, Mexico dan China. Tanpa membuang masa, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau segera umumkan balasan tarif sebanyak 25% juga kepada AS.
Susulan itu, Trump mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Kanada yang kemudiannya bersetuju untuk menangguhkan seketika rancangan pelaksanaan tarif ke atas barangan import Kanada dalam tempoh 30 hari.
Ekoran perubahan pada sentimen semasa pasaran, US dolar yang mengukuh pada pembukaan sesi Asia semalam kembali didagangkan susut pada sesi Eropah dan New York.
Walaupun data PMI pembuatan AS tinjauan ISM untuk Januari catatkan bacaan cemerlang melepasi paras 50 mata, namun gagal untuk menyokong pengukuhan US dolar.
Dolar Kanada yang jatuh ke paras terendah hampir 20 tahun kembali pulih semula dengan terjunan harian 400 pips dipamerkan pada carta pasangan mata wang USD/CAD semalam.
Namun penganalisis pasaran masih memberi amaran kepada pelabur untuk berwaspada berikutan situasi perang tarif ini akan kembali hangat semula.
Zon Eropah juga sedang berdepan ancaman apabila Trump mempertimbangkan tarif sebanyak 10% untuk dikenakan.
Ini akan menambahkan lagi tekanan khususnya kepada dagangan mata wang Euro selepas bank pusat Eropah (ECB) juga pada minggu lalu telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Federal Reserve (Fed) masih mengekalkan kadar faedah tidak berubah seperti yang dijangkakan dan pasaran akan meneliti petunjuk baharu minggu ini menerusi laporan pekerjaan NFP pada Jumaat.