Menuju ke dagangan penghujung minggu, US dolar berjaya mengekalkan pengukuhan untuk beberapa sesi berturut-turut namun momentum dilihat sedikit pudar di sesi New York semalam.
Menghadkan sedikit pengukuhan lanjut buat US dolar, hasil perbendaharaan 10-tahun AS dilihat berundur sedikit dari paras 4.73%, yang tertinggi dicapai dalam tempoh 8 bulan.
Dengan ketiadaan data ekonomi tumpuan pada Khamis semalam, pelabur kekal berhati-hati menunggu laporan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang bakal diterbitkan pada hari ini (Jumaat).
Pasaran menjangkakan pertambahan pekerjaan yang lemah pada Disember sekitar 164,000 berbanding 227,000 bulan sebelumnya.
Purata pendapatan per jam juga dijangka menurun kepada 0.3% daripada 0.4% manakala kadar pengangguran diramal kekal di paras 4.2%.
Turut mengiringi laporan pekerjaan Amerika itu, laporan pekerjaan Kanada juga akan diterbitkan pada waktu yang sama.
Pertambahan pekerjaan di Kanada pada Disember dijangkakan lebih perlahan sementara kadar pengangguran berkemungkinan meningkat.
Selain data ekonomi yang menjadi tumpuan bank pusat Federal Reserve (Fed), spekulasi berkenaan rancangan tarif Donald Trump kekal menjadi pemacu pasaran ketika ini.
Presiden Fed Boston, Susan Collins melihat ketidaktentuan terhadap unjuran ekonomi memerlukan bank pusat untuk bergerak berhati-hati dalam langkah pemotongan kadar faedah.
Sementara, Presiden Fed Philadelphia Patrick Harker masih menjangkakan pemotongan kadar faedah untuk diteruskan dengan langkah yang bersesuaian dengan situasi semasa.
Presiden Fed Kansas City Jeff Schmid percaya kadar faedah semakin hampir berada pada paras di mana ekonomi tidak memerlukan sekatan atau sokongan, sementara Gabenor Fed Michelle Bowman menyatakan jangan terlalu awal menilai dasar pentadbiran baharu yang akan dilaksanakan.