US dolar kekal didagangkan lemah pada sesi New York semalam menyusuli corak dagangan pada Isnin lalu.
Namun pasaran berwaspada dengan sentimen pasaran yang dinilai kembali berisiko apabila China telah mengumumkan tarif baharu ke atas Amerika Syarikat (AS) sebanyak 15% untuk arang batu dan gas asli cecair serta 10% minyak mentah AS dan barangan lain.
Ini adalah tindakan balas terhadap Presiden Donald Trump yang mengumumkan tarif ke atas China termasuk Mexico dan Kanada pada hujung minggu lalu.
Pada awal minggu, Trump bersetuju untuk menangguhkan tarif Kanada dan Mexico dalam tempoh 30 hari susulan Perdana Menteri Kanada dengan segera umumkan tarif balasan kepada AS.
Pada sesi New York semalam, pelabur meneliti laporan data pekerjaan JOLTS AS yang mengukur jumlah pekerjaan yang ditawarkan untuk bulan Disember.
Angka yang dicatatkan meleset berbanding ramalan, perlahan pada 7.6 juta berbanding ramalan 8.01 juta.
Ini menjadi isyarat kurang baik untuk penilaian pada sektor buruh AS sebelum petunjuk seterusnya akan diperhatikan pada data ADP dan NFP.
Juga akan menyusul data PMI perkhidmatan AS tinjauan oleh ISM dengan jangkaan angka kekal di atas paras 50 mata selepas bacaan sama bagi sektor pembuatan diterbitkan cemerlang pada Isnin lalu.
Situasi penyusutan US dolar sedang memberi kelebihan kepada mata wang utama lain untuk kembali didagangkan pulih semula.
Perkembangan lanjut perang tarif akan terus dipantau yang menjadi faktor utama yang memacu pergerakan pasaran semasa.