Dulu bertukar hadiah, kini bertukar serangan cukai.
Presiden Donald Trump nekad untuk melancarkan panah tarif dengan kali ini melibatkan arak.
Pada Khamis semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu telah mengancam pelaksanaan cukai 200% ke atas arak Eropah selepas EU mengenakan cukai 50% ke atas arak Amerika sebagai tindak balas terhadap tarif keluli dan aluminium Trump.
Trump mengugut di Truth Social bahawa AS akan mengenakan cukai 200% ke atas semua wain, champagne, dan produk alkohol dari Perancis serta negara EU yang terlibat jika tarif EU tersebut tidak ditarik balik segera.
Beliau mendakwa langkah itu akan memberi kelebihan kepada pengeluar tempatan.
Apa kesannya?
Perancis, pengeksport wain terbesar AS, kini berdepan mimpi ngeri—kehilangan pasaran bernilai berbilion dolar dalam sekelip mata.
Industri Champagne kini dalam mod berjaga-jaga, manakala pelobi wiski Ireland memberi amaran tentang kesan yang “menghancurkan.”
Dalam masa yang sama, syarikat arak Amerika bimbang jualan yang akan merudum.
Chris Swonger, CEO Distilled Spirits Council, menzahirkan kebimbangannya dalam industri tersebut dengan menegaskan bahawa industri arak dibina untuk perayaan, bukan cukai.
Jika perang tarif ini berterusan, satu perkara pasti – harga melambung, ketegangan memuncak, dan peminat wain Amerika mungkin terpaksa bersulang dengan air kosong!