Ringgit melanjutkan keuntungannya berbanding dolar AS sejak dagangan Isnin dan bersedia untuk menguji paras sokongan sekitar RM4.36 buat masa ini.
Pada jam 10 pagi, ringgit berada pada paras 4.3780 iaitu menurun sedikit berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.3670 pada penghujung dagangan Isnin.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kewangan nampaknya berkembang lebih gelisah di tengah-tengah langkah berterusan Presiden Trump yang menjejaskan kebebasan Fed AS dalam menjalankan dasar monetari.
Katanya lagi, saham AS kembali menjunam apabila Presiden AS meneruskan ugutan ke atas Jerome Powell dengan mendesak tiada inflasi dan kadar dana Fed perlu diturunkan.
Indeks Dolar AS (DXY) jatuh hampir satu peratus untuk mencapai 98.278 mata.
Walaupun mungkin terdapat pandangan bahawa Fed sentiasa lewat dalam perancangan, tidak sepatutnya ada sebarang percubaan untuk menjejaskan kebebasannya. Ini adalah situasi luar biasa yang memburukkan lagi pandangan yang sudah suram berikutan langkah tarif.
Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0913/1121 daripada 3.1046/1095 pada penutup Isnin, meningkat berbanding euro kepada 5.0139/0473 daripada 5.0408/0483, dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8266/8654 daripada 5.8513/8601.
Nota tempatan juga mencatatkan prestasi yang lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3372/3599 daripada 3.3515/3570, naik berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.74 daripada 7.71/7.73 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1187/2184 daripada 13.1914/217.
Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 259.1/260.9 berbanding 259.8/260.3 sebelumnya. – Bernama