Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada pembukaan hari ini apabila Indeks Dolar AS (DXY) susut lagi apabila pasaran buruh AS menunjukkan prospek yang lebih lemah.
Pada jam 10.15 pagi, ringgit berada pada paras 4.4260 iaitu naik 0.32% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.4400 pada penghujung Selasa.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY susut lagi kepada 107.993 mata dengan pasaran buruh AS yang lebih lemah.
Kajian Pembukaan Pekerjaan dan Pusing Ganti Buruh (JOLTS) menunjukkan jumlah bukaan pekerjaan pada Disember turun kepada 7.6 juta lebih rendah daripada anggaran konsensus 8.01 juta.
Katanya lagi, ia adalah penurunan pertama selepas melaporkan kenaikan dua bulan berturut-turut dengan nisbah jumlah pekerjaan tersedia bagi setiap individu yang menganggur turun kepada 1.11 daripada 1.15 sebelumnya.
Selain itu, ringgit boleh terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan hari ini antara RM4.42 hingga RM4.44 dengan paras sokongan dan rintangan masing-masing pada RM4.43 dan RM4.45.
Walau bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.
Mata wang tempatan itu lemah berbanding yen Jepun kepada 2.8729/8857 daripada 2.8581/8645 pada Selasa, susut berbanding euro kepada 4.5941/6144 daripada 4.5905/6003 dan susut nilai berbanding pound British kepada 5.5259/55286 daripada sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia menambah nilai berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.63 daripada 7.61/7.63 pada Selasa dan meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 270.8/272.1 berbanding 271.5/272.2 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.2741/2887 berbanding 3.2741/2813 dan jatuh berbanding baht Thailand pada 13.1429/2121 daripada 13.1241/1580 pada Selasa. – Bernama