Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa syarikat pengeluar minyak untuk gerudi lebih banyak hasil dengan kenyataannya “drill baby, drill” dan kebanyakan para pelabur minyak merasakan ia bukan satu tindakan yang bagus.
Clark Williams-Derry, penganalisis kewangan tenaga di Institusi Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan berkata harga minyak masih rendah pada masa ini dan melihat syarikat-syarikat mula mengurangkan perbelanjaan modal mereka.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS melaporkan Amerika Syarikat mencatatkan pengeluaran minyak mentah tertinggi dalam sejarah berbanding negara lain.
Pada Disember 2024, syarikat minyak dan gas di negara itu menghasilkan lebih daripada 13.49 juta tong minyak mentah sehari, menjadikannya kadar pengeluaran tertinggi yang pernah direkodkan.
Kadar pengeluaran yang tinggi lazimnya menekan harga ke paras lebih rendah, memberi manfaat kepada pengguna.
Namun, jika harga jatuh terlalu mendadak sehingga menjejaskan keuntungan pengeluar, mereka berkemungkinan menghentikan aktiviti penggerudian.
Harga petrol di Amerika Syarikat dijangka menurun sebanyak 11 sen pada tahun 2025 dan 19 sen pada tahun 2026, menurut ramalan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).
Berdasarkan data terkini yang tersedia, EIA melaporkan bahawa harga minyak mentah menyumbang kira-kira 52.6% daripada purata harga runcit petrol pada tahun 2023.
Trajektori harga minyak mentah pada masa hadapan kekal sebagai faktor utama yang membimbangkan pelabur dalam industri minyak dan gas. – CNBC