US dolar melanjutkan penyusutan pada dagangan pembukaan awal minggu ini apabila pasaran masih menumpukan isu berkenaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perkembangan perang tarif sedikit mereda namun masih terdapat isu yang memberi kebimbangan kepada pelabur terhadap kestabilan pasaran.
Trump kembali mengulangi ugutan beliau pada minggu lalu untuk memecat Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell dengan mendakwa tindakan Powell menurunkan kadar faedah pada penghujung 2024 lalu adalah berunsurkan politik.
Trump mengkritik Powell pada Isnin bahawa ekonomi AS akan perlahan melainkan kadar faedah diturunkan dengan segera.
Serangan Trump ke atas Powell itu menjadi faktor menggoyahkan pasaran ketika ini dengan para pelabur beralih ke aset-aset selamat seperti emas yang telah mencipta rekod tertinggi terbarunya pada $3,400.
Pelabur mula meletakkan keraguan terhadap pendirian bank pusat untuk menetapkan dasar monetari tanpa desakan pihak luar.
Pasaran di awal minggu masih suram dengan bank-bank pusat utama juga sedang bercuti selain kekurangan data-data ekonomi menjadi tumpuan.
Namun pelabur akan kekal berwaspada menantikan sebarang kejutan dalam suasana pasaran yang masih diselubungi ketidaktentuan.
Data yang akan diterbitkan pada Rabu akan mengukur kesihatan semasa ekonomi utama termasuk Eropah dan AS menerusi bacaan pada sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Walaupun ada pemulihan sedikit US dolar di sesi Asia pagi ini (Selasa), namun mata wang tersebut dijangka masih berisiko untuk bergerak lemah pada sesi-sesi berikutnya.
Sementara mata wang utama lain bakal memanfaatkan peluang ini untuk meraih keuntungan sebelum situasi pasaran mula berubah.