Dalam kejutan besar bagi perang Ukraine-Rusia, Ukraine kini melempar bola kepada Vladimir Putin setelah memilih untuk bersetuju dengan gencatan senjata 30 hari.
Persoalannya, adakah Moscow akan menyambutnya atau terus mengganas?
Pengumuman ini sekaligus meletakkan tekanan penuh ke atas Kremlin dengan dunia memerhati, berharap perang ini dapat dihentikan sebelum lebih ramai menjadi korban.
Keputusan ini diumumkan selepas rundingan tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine di Arab Saudi, sekali gus membuka semula bantuan ketenteraan AS yang sebelum ini dibekukan hanya beberapa hari selepas pertembungan panas antara Donald Trump dan Volodymyr Zelenskyy di White House.
Beberapa jam selepas pengumuman itu, Kyiv dibedil – seakan jawapan awal dari Moscow. Rundingan damai atau sekadar fatamorgana?
Dengan situasi medan perang berubah dan pertaruhan politik semakin tinggi, kini semua mata tertumpu pada Kremlin.
Adakah Putin akan memilih damai atau mencetuskan neraka yang lebih dahsyat?