“Hmm BTC nampaknya macam pening lagi nak ke mana.”
Selepas diterbitkan minit mesyuarat daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Jun 2023, majoriti pegawai Federal Reserve (Fed) didapati menyokong untuk mengekalkan kenaikan kadar faedah manakala sesetengahnya pula ingin menaikkan 25 mata asas pada mesyuarat seterusnya.
Semasa bercakap berhubung prospek sepanjang tahun 2023, hampir semua pegawai Fed menjangkakan akan ada lebih banyak kenaikan kadar faedah pada tahun 2023 berbanding jangkaan pasaran yang berpendapat ia mungkin potong kadar menjelang akhir tahun ini.
Susulan minit FOMC pada jam 2 pagi tadi, seluruh pasaran mata wang kripto menyaksikan reaksi positif apabila Bitcoin (BTC) melonjak sedikit untuk mencapai $30,600.
Sudah sedia maklum prestasi BTC sejak kebelakangan ini semakin pulih apabila pegawai Fed mendedahkan inflasi utama tidak menunjukkan tanda-tanda kemerosotan berterusan semenjak awal tahun 2023.
Oleh demikian, maklumat tambahan mengenai keadaan ekonomi adalah penting untuk para pelabur menentukan tindakan monetari selanjutnya oleh Fed, di mana bank pusat Amerika Syarikat (AS) berpandangan pergerakan kadar faedah akan beri manfaat kepada pasaran kripto berbanding saham.
Umum mengetahui Pengerusi Fed Jerome Powell selepas mesyuarat FOMC pada Jun memberi amaran bahawa ramalan dikeluarkannya pada masa itu menandakan pengetatan kadar faedah sebanyak 0.5% pada 2023.
Bagaimanapun, hampir semua peserta bersetuju mengekalkan pendirian hawkish adalah wajar sejurus selepas minit FOMC tersebut dikeluarkan.
Setakat ini, harga BTC tergelincir semula sebanyak 1.35% pada paras $30,411 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $590 bilion tetapi tetap mencatatkan kenaikan sekitar 0.66% sepanjang minggu lepas.