“Wow terbaiklah, siapa yang simpan banyak kripto tu boleh la pergi beli Ferrari.”
Susulan permintaan pelanggan yang agak tinggi, kereta sport mewah Ferrari bakal menerima pembayaran dalam mata wang kripto di Amerika Syarikat (AS) kemudian rancang melaksanakannya di Eropah pada suku pertama 2024.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komersial Ferrari Enrico Galliera, pasukannya berhasrat untuk menerima pembayaran dalam kripto selepas didorong oleh permintaan pasaran dan peniaga termasuk pelanggan serta pelabur muda yang berminat beli aset digital.
Walaupun Galliera tidak menyatakan bilangan kereta yang dijangka dijual oleh Ferrari melalui pembayaran kripto, beliau mendedahkan bahawa portfolio untuk order kereta tersebut telah ditempah sepenuhnya sehingga tahun 2025.
Ferrari berhasrat menguji pasaran kripto yang semakin berkembang untuk berhubung dengan pembeli melebihi pelanggan biasanya.
Sebagai sebahagian daripada fasa awalnya di AS, Ferrari telah memeterai perjanjian bersama pemproses pembayaran kripto BitPay untuk membenarkan transaksi dalam Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH) dan USD Coin (USDC).
Galliera mengesahkan bahawa tiada bayaran tambahan atau surcaj apabila menggunakan kripto susulan BitPay akan segera menukar pembayaran aset digital kepada mata wang fiat dengan memastikan ia dilindungi daripada turun naik harga kripto.
BitPay juga akan memastikan kesahihan sesuatu aset digital tersebut agar ia bukanlah daripada aktiviti pengubahan wang haram atau pengelakan cukai.