“Hmm korang jangka harga BTC akan ke mana masa FOMC nanti?”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang berjaya menyaksikan pendakian ketara sepanjang Oktober 2023 mungkin bakal meneruskan kenaikan lagi semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada pagi Khamis.
Terdapat kebarangkalian 98% untuk Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 1 November 2023 manakala 1.8% pula jangkaan bank pusat Amerika Syarikat (AS) akan memotong kenaikan kadar faedah.
Menerusi pemerhatian, BTC pada September 2023 tidak memberi sebarang pergerakan ketara apabila Fed membiarkan kadar faedah tidak berubah, tetapi harganya boleh menghadapi turun naik jangka pendek dengan berlegar pada $34,400 ketika FOMC nanti.
Namun perlu diketahui kenaikan BTC sebahagian besarnya dapat tercetus jika Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) meluluskan spot BTC ETF, jadi di sini dapat dilihat keputusan pengawal selia AS boleh mempengaruhi harganya berbanding kadar faedah tidak berubah.
Selain itu, aset berisiko seperti BTC dan altcoin mampu mencanak tinggi sekiranya senario kedua terjadi di mana Fed akan menurunkan kadar faedah.
Hal ini kerana pemotongan kadar menjadikannya lebih murah untuk meminjam dana dan melibatkan diri dalam BTC bagi menjana keuntungan lumayan ditambah pula permintaan serta aliran masuk dana yang makin meningkat turut akan mendorong harganya naik drastik.
Bagaimanapun, penting untuk ambil perhatian bahawa pemotongan kadar faedah mungkin tidak berlaku tetapi pelabur harus memberi tumpuan pada ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell dalam mengenal pasti sama ada kenaikan kadar faedah akan berlaku atau tidak.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.47% pada paras $34,661 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $676 bilion seterusnya mencatatkan pendakian 2.47% sepanjang minggu lepas.