Selain pelabur berjaga-jaga memerhatikan situasi pasaran yang sedang ‘tenat’ di awal minggu ini, tumpuan turut terarah kepada acara penting dalam kalendar ekonomi.
Pada hari ini (Selasa), tumpuan di sesi Asia terarah kepada mesyuarat polisi monetari bank pusat Australia yang dilihat akan menjadi pemacu pergerakan mata wang dolar Aussie minggu ini.
Reserve Bank of Australia (RBA) mengumumkan kadar faedah dikekalkan tidak berubah di paras 4.35% untuk mesyuarat kali 6 berturut-turut pada edisi Ogos 2024.
Perhatian seterusnya beralih kepada ucapan susulan oleh gabenor RBA Michele Bullock untuk menjelaskan tindakan bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah.
Pasaran menilai ucapan Bullock bernada agak dovish apabila menyatakan bahawa kadar faedah yang tinggi masih perlu dikekalkan lebih lama berikutan kadar inflasi yang masih belum mencapai sasaran.
Tambah beliau lagi, langkah pemotongan kadar faedah tidak berada dalam agenda untuk tempoh terdekat, malah memaklumkan bahawa RBA bersedia untuk menaikkan kadar faedah jika keadaan memerlukan.
Pasaran yang menjangkakan pemotongan kadar untuk dilaksanakan adalah tidak sejajar dengan pandangan penggubal dasar yang tidak melihat risiko kemelesetan terhadap ekonomi Australia dalam tempoh ke depan.
Situasi ini dilihat bakal memberikan sokongan terhadap dolar Aussie dalam pasaran namun mata wang tersebut kini sedang berdepan risiko kejatuhan dalam suasana sentimen pasaran berisiko (risk-off).
Ketegangan di Timur Tengah semakin meningkat dengan Iran dilaporkan sedang membuat persiapan untuk menyerang Israel selepas pembunuhan Ketua Hamas Ismail Haniyeh di Tehran baru-baru ini.
Malah, Rusia juga turut terlibat memberi bantuan pertahanan udara untuk Iran sementara Israel berkemungkinan akan mendapat sokongan Amerika Syarikat.